Isnin, 8 Ogos 2011

BAB 5


Pelanggan yang baru memasuki restoran segera aku dekati. Bimbang sekiranya pelanggan mengadu pada Auntie Salma tentang kelewatan layanan kami. Bukannya apa, reputasi restoran harus dijaga. Selesai pesanan diambil, segera kuhantar ke bahagian memasak. Abang Mastor yang diupah Auntie Salma segera menyiapkan makanan.
Petang ini, pelanggan agak kurang di restoran, maklumlah baru lepas waktu makan tengah hari. Selalunya, hari Jumaat aku akan bekerja dari jam 2 petang hinggalah ke 10 malam. Kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin oleh aku untuk merehatkan badan.
Entah mengapa, jiwa aku sering tidak tenang kebelakangan ini. Setiap masa, ada sahaja debaran yang melanda. Seringkali aku mengeluh, kadang-kadang sering dimarahi Ana dan Auntie Salma, sekiranya mereka terdengar. Entah apalah dugaan Allah kali ini?
“Assalamualaikum,” sapaan itu lembut kedengaran di telinga. Segera aku mengangkat wajah. Seketika, aku terpana melihat wajah di hadapanku. Saat itu, jantungku makin bertambah kencang degupannya.
“Hello. Do you still remember me?” Pandangan mata yang agak tajam itu semakin menambahkan debaran. Masakan aku boleh lupa dia. Baru hari Isnin dia ajak aku keluar makan, sampai ke Titiwangsa.
Segera aku menganggukkan kepala, tanda masih mengingati lelaki yang membuatkan aku hampir setiap hari tidak tidur malam.
“Well, busy ke hari ini?” Suara garau Dzul menerjah cuping telingaku. Wajahnya yang sedang tersenyum itu semakin kacak di pandanganku.
“Taklah,” segera pertanyaan itu dijawab.
“Mmm, if you don’t mind, boleh temankan I makan?”
“Bila?” Laju pertanyaan itu keluar dari mulutku, nampak sangat gelojohnya.
“Sekarang, boleh?”
“Mm..” aku terdiam. Sekarang? “Di sini saja, kan?”
Segera Dzul memandang keliling restoran. Lama dia terfikir. Akhirnya, dia bersetuju untuk makan di situ, kebetulan restoran ini juga menyediakan nasi campur.
“Okay, ada tiga syarat you kena penuhi kalau I makan di sini.” Dzul mengangkat keningnya. Cuba menduga barangkali.
Terkejut aku mendengar kata-kata itu. Apa pula ni? Ada syarat pula tu?
“Apa? Dzul nak Mimiey belanja, kah?”
“Belanja? Okay juga tu, tapi lain kalilah. Er...syarat yang pertama, you kena ambilkan makanan untuk I.” Terukir senyuman di bibir dia.
“Erm, okay. Dzul suka makan apa?” Senyuman dibalas. ‘Ambil makanan untuk dia? Ingat aku ni isteri dia ke?’
“Ala, anything. Asalkan halal. Ikut selera you.” Jawab Dzul, sebelum kakinya melangkah ke meja yang kosong.
Aku segera membuntutinya. Mahu tahu apakah pula syarat-syarat yang lain. Namun, isyarat tangan Dzul segera mengarahkan aku agar memenuhi syarat pertama itu dahulu. Laju kakiku menghala ke arah hidangan nasi campur yang disediakan.
Lama juga aku memilih makanan. Akhirnya, aku ambil kuah kari berserta paha ayam, sayur kangkung masak belacan dan juga daging masak lada hitam. Itu pun, mengikut selera aku. Pada Abang Saupi, kupesan sediakan Teh ‘O’ Limau panas.
“Thank you very much,” ucap Dzul apabila makanan itu kuletakkan di hadapannya. “Now, syarat kedua, you kena duduk di hadapan I, dan temankan I.”
Syarat yang ini memang aku tak dapat penuhi. Bimbang Auntie Salma membebel pula.
“Tak boleh la. Mimiey takut Auntie Salma marah.” Perlahan sahaja suara aku. Bimbang Dzul memarahi aku seperti pada perkenalan pertama kami.
“Don’t worry. Auntie Salma tu merupakan Mak Lang, I. Adik kepada ayah I. Nanti kalau dia marah, I akan beritahu cerita sebenar. Is it okay with you?”
‘La, Mak Lang dia ke? Auntie Salma ni pun bukannya nak beritahu hari tu. Saja nak kenakan akulah tu?’
“Boleh tak? Kalau tidak, I tak nak makan dekat sini.” Dia bersuara lagi.
“Okay, lah.” Kerusi di sebelah Dzul kutarik, namun pantas tangannya menahan. Dia menggeleng-gelengkan kepala, manakala tangannya mengarah ke kerusi yang berhadapan dengannya.
Kuturutkan sahaja kehendak itu. Bimbang kalau-kalau dia naik angin. Tak sanggup aku mendengar leterannya lagi. Dzul segera menikmati makanan sebaik sahaja kududuk.
“Er, Dzul. Apa syarat yang ketiga pula?” Kuajukan soalan apabila Abang Saupi beredar dari situ.
Wait after I finish my meal.”
 Aku hanya duduk, dan melihat dia makan. Tidak ada apa yang dibualkan, aku pun tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Dzul pun tidak bersuara langsung. Mungkin dia terlalu lapar agaknya. Wajah Dzul kurenung, memang kacak lelaki di hadapanku ini. Bertuah sesiapa yang menjadi buah hatinya.
Tanpa aku sedari, Auntie Salma yang baru tiba hanya tersenyum memandang ke arah kami.
“Mmm...sedap. You masak ke?” Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Dzul setelah selesai makan.
“Taklah. Abang Mastor dan Abang Saupi yang masak. Mimiey masuk kerja lepas Jumaat tadi, mana sempat nak tolong masak. Lagipun, Mimiey mana tahu sangat masak.” Ikhlas aku menjawab.
“A’ah. Mimiey tak tahu masak, konon. Dzul, she’s a good chef,” suara Auntie Salma yang nyaring mencelah perbualan kami membuatkan aku sedikit tersentak.
“Eh, auntie. Bila auntie sampai?” Segera aku berdiri, bimbang Auntie Salma fikir yang bukan-bukan.
“It’s okay, Mimiey. Temanlah Dzul tu sampai esok pagi. Kalau Mimiey boleh temankan Dzul sampai akhir hayat, lagi auntie suka.” Ceria suara Auntie Salma.
Ketika itu, aku dapat rasakan, mukaku sudah memerah. Malu apabila Auntie Salma cakap sebegitu. Pantas, kutoleh mukaku ke arah lain. Malu besar kalau Dzul nampak muka aku saat ini.
“Ala, Mak Lang ni. Janganlah cakap macam tu, kita orang berkawanlah. Mimiey, tak payah layan Mak Lang tu.”
“Eleh, kawan pun bukannya tak boleh kahwin.” Selamba ayat itu meluncur dari mulut Auntie Salma.
“Apa-apa sajalah, Mak Lang. Dzul nak pergi dah ni. Ada kerja sikit.” Kakinya menghala ke singki, membasuh tangan.
Dzul segera berlalu. Aku hanya memandang kelibatnya yang semakin menghilang di balik pintu. Selepas itu, terus aku mengambil pinggan Dzul untuk dicuci. Ingin segera melarikan diri dari pandangan Auntie Salma, namun...
“Mimiey, I lupa nak beritahu syarat yang ketiga.”
Ya ALLAH, mamat tu datang balik. Segera aku menoleh ke arahnya.
“Malam ni, tepat pukul 8 malam, I datang ambil you dekat rumah.”
Bulat mataku memandang ke arah Dzul. agak terkejut mendengar syarat yang terakhir. Pukul 8 malam, Auntie Salma bagi ke aku balik awal.
Dan, sebelum dia melangkah keluar dari restoran, Dzul sempat berpesan, “Mak Lang, malam ni Mimiey kena berehat. Boleh tak?”
Auntie Salma tersenyum, lantas menoleh ke arah aku yang sudah terpinga di situ, lalu menjawab, “Apa saja untukmu, wahai anak saudaraku.”
Sepanjang petang itu, penat aku mendengar komen Auntie Salma tentang anak saudaranya. Semuanya baik-baik belaka, malah, dia sempat mendoakan agar ada jodoh di antara kami.

Tiada ulasan: