Ahad, 21 Ogos 2011

BAB 6


‘Thanz 4 spending your precious time wif me 2nite. I really appreciate dat.’

Mesej yang diterima dari Dzul diulang baca. Malam itu sukar sungguh aku melelapkan mata.
            ‘Apa yang patut aku lakukan? Patutkah aku terus berkawan dengan lelaki bernama Dzul itu? Patutkah aku memberitahu Ana dan Auntie Salma? Malunya aku kalau mereka tahu pasal tadi. Ya Allah, berikanlah petunjukMu.’
            Jam di dinding berdenting sebanyak empat kali. Bermakna hampir empat jam peristiwa itu berlaku. Puas aku cuba memejamkan mata, cuba memadam ingatan terhadap perkara itu, namun semakin jelas ia tergambar di benakku.


Aku memandang wajah Dzul yang tenang memandu di sebelah. Kami baru pulang dari Mid Valley, aku sekadar menemaninya mencari hadiah untuk temannya yang akan menyambut hari lahir pada keesokan hari. Jelas Dzul, Rita merupakan temannya sejak dari kecil lagi, yang juga merupakan anak kepada kawan ayahnya. Padanya, Rita merupakan kawan akrabnya. Apabila mempunyai masalah, Ritalah orang pertama yang dicarinya.
Penat meronda satu Mid Valley, akhirnya dia memilih untuk menghadiahkan sebuah jam tangan berjenama Rolex. Menurut Dzul, sudah lama Rita mengidam-idamkan jam tersebut.
Apabila keretanya sudah memasuki kawasan rumahku, segera aku meminta Dzul menghantar aku jauh sedikit dari rumahku. Bimbang dilihat jiran-jiran, maklumlah sudah hampir tengah malam. Apa pula kata mereka kalau nampak aku balik tengah malam dengan lelaki. Dzul hanya menurut kataku. Keretanya diparkir di hujung jalan. Hanya selang beberapa buah rumah sahaja tempat itu dari rumahku, jadi tidaklah aku terlalu risau untuk berjalan kaki ke rumah.
Segera aku mengucapkan terima kasih kepada Dzul kerana sudi mengajak aku keluar. Lagipun, ini kali kedua dia belanja aku makan. Walaupun hanya menikmati hidangan KFC sebagai makan malam, itu sudah cukup bagiku.  Jarang sekali aku menikmati hidangan KFC, padaku agak mahal sedikit harganya. Lebih baik aku beli ayam dan goreng sendiri di rumah.
Namun, belum sempat aku membuka pintu kereta, Dzul menarik tanganku. Kaget seketika, namun perasaan itu segera hilang apabila tangan kanannya mengelus lembut pelipisku. Terpesona dengan caranya, aku hanya membiarkan sahaja tindakan itu. Melihatkan kepada reaksi positifku, pantas tangannya beralih memainkan rambutku yang sedikit ikal itu.
Agak lama kami bertentangan mata. Aku yang sedikit teruja dengan tindakan itu, hanya tersenyum dan membiarkan sahaja setiap tindakan Dzul. Apabila tanganku dielus lembut, perasaanku jadi tidak menentu. Lembut sekali elusannya, membuatkan aku bertambah asyik dengan perbuatan itu. Leka sekali, sehingga aku tidak sedar langsung tanganku sudah di bawa ke bibirnya. Aku hanya merelakan segala perbuatannya, entahlah, aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku tatkala itu.
Setelah puas dia mengucup tanganku, bibirku pula dicari. Aku yang pertama kali menikmati kucupan itu, terasa sedikit teruja. Aku bijak memainkan perananku. Kucupan bibirnya kubalas. Walaupun pertama kali, aku seolah-olah sudah terbiasa dengan perkara itu. Setelah agak lama kami berkucupan mesra, kali ini, bibirnya singgah pula ke telingaku.
Bahagian atas telingaku dikucup lembut sebelum digigit perlahan. Aku yang sedikit kegelian, menolak lembut ciuman itu. Dzul hanya tersenyum, sebelum bibirnya beralih ke leherku pula. Kemudian, sekali lagi bibirnya kembali mengucup bibir atasku.
Saat itu juga, jari-jemari Dzul memainkan rambutku di sekitar leherku. Perbuatan itu tidak berakhir di situ sahaja. Dengan menggunakan hujung jari-jarinya, leherku dielus sehingga membuatkan aku menggeliat kegelian. Bibirnya dialih pula ke leherku, lalu dikucup dan dicium di sekitar leherku. Aku menikmati perasaan yang luar biasa kala itu.
Melihat aku yang tidak langsung menolak segala tindakannya, kali ini Dzul bertindak lebih jauh. Kedua-dua tangannya memeluk erat pinggangku sebelum bibir yang tadinya mencium leherku beralih ke telinga kiriku. Hembusan nafas yang kuat di telingaku, kembali menyedarkan aku ke alam nyata.
Ya ALLAH, apa yang sedang aku lakukan. Saat itu, sekuat tenaga aku menolak tubuh Dzul. Wajahnya kupandang seketika sebelum hayunan tangan kananku tepat mengena pipi kirinya. Kuat sekali sehingga membuatkan Dzul tertoleh. Kulihat tangan Dzul memegang pipi sebelum menoleh, dan memandang wajahku.
Dia kelihatan terpinga, terkejut dengan aksi spontanku. Mungkin pelik, tadi aku menerima sahaja segala perbuatannya, namun, sepantas itu juga aku menolaknya.
“Mimiey, what’s wrong with you?” Jelas nada suara Dzul sedikit kasar. Marah barangkali ditampar. Mungkin ini kali pertama dia ditampar oleh perempuan.
Aku yang sudah tidak mampu untuk bersuara, segera keluar dari kereta. Airmata yang tak dapat dibendung, mengalir jua ke pipi. Lantas, aku berlari ke rumah. Risau Dzul melakukan perkara-perkara di luar batasan lagi. Sebelum aku menutup pintu rumah, kelihatan kereta Dzul berhenti di hadapan pagar rumah. Segera aku mendaki tangga untuk ke bilikku, dan terus ke bilik air.


Jam yang kuat berdenting, menyedarkan aku kembali ke alam nyata. Sekilas memandang jam yang tergantung di dinding, sudah jam lima pagi rupanya. Memandangkan aku masih tak dapat melelapkan mata, segera aku ke bilik air.
            Untuk menenangkan keresahan jiwa, aku membaca Al-Quran sementara menunggu azan Subuh. Sebelum itu, kutunaikan solat sunat Taubat terlebih dahulu, menginsafi kejadian yang menimpa aku malam tadi. Sesungguhnya, syaitan itu berada di mana-mana sahaja.
            Lewat pagi itu, aku nekad untuk tidak bekerja di restoran Auntie Salma lagi. Malah, aku juga tidak mahu menerima apa-apa panggilan dari Dzul. Juga, aku tidak akan menceritakan kejadian itu kepada sesiapapun. Biarlah peristiwa itu terpendam di hatiku sahaja.
            ‘Ya ALLAH, ya Tuhanku, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan diriMU. Dan sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W itu PesuruhMu. Dengan kebesaranMu dan dengan berkat PesuruhMu, Ya ALLAH, ampunkanlah dosa-dosaku sebelum ini, dosaku pada hari ini dan dosa-dosaku pada kemudian hari. sesungguhNya, Engkaulah Pengampun Dosa-dosa Besar.’


Tiada ulasan: