Rabu, 25 Mei 2011

Bab 2

Huarghh…mengantuknya.  Malasnya nak bangun. Pukul berapa dah ni? Aku cuba membuka mata, kelihatan Ana tekun di meja belajarnya, mungkin tengah siapkan tugasan yang diberikan pensyarah, ataupun mungkin dia tengah mengulangkaji.
            “Mimiey, bangunlah.” Mungkin dia perasan aku sudah membuka mata.
            “Penatlah, Ana.” Aku tidak segera bangun. Masih bermalas-malasan di atas katil.
            “Kau kerja ke hari ini?” Mukanya diarahkan pada aku, yang hanya mengangguk tanda mengiyakan pertanyaannya. “Pukul berapa kau masuk kerja?”
            “Hmm...dalam pukul sepuluh pagi. Kenapa?” Aku bangun dan menggeliat untuk membetulkan saraf-sarafku.
            “Saja je aku tanya. Tak bolehkah?” jelas nada suara Ana merajuk.
            Aku hanya tersenyum melihat keletah rakan sebilikku. Kami sudah setahun menjadi rakan sebilik. Malah, kami juga berkongsi masalah bersama-sama. Apa sahaja masalah yang aku hadapi, tak kiralah masalah keluarga, semuanya aku ceritakan padanya. Tiada sedikit pun aku berahsia. Susah senang aku, semuanya dia tahu. Ana pun begitu, sekiranya dia mempunyai masalah, orang pertama yang dia cari mesti aku.
            Aku segera berlalu ke bilik air. Jam menunjukkan hampir pukul 8.30 pagi. Kalau aku berlengah lagi, takut terlambat ke restoran. Walaupun Auntie Salma tak kisah jam berapa aku masuk kerja, bimbang juga rasa hati kalau tidak tepati masa. Maklumlah, itu saja tempat aku mencari wang untuk menambah duit poketku.
            “Mimiey, assignment Dr Kasmiran, kau dah siapkan ke?” Ana bertanya semasa aku sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
            “Sudah, aku siapkan semalam. Balik aja dari restoran, aku terus siapkan, sampai jam satu pagi. Itu yang lepas subuh tadi, aku sambung tidur balik. Mengantuk sangat,” jawapan yang aku berikan hanya mengundang senyuman dan gelengan kepala dari Ana.
            Melihat Ana berkelakuan begitu, aku segera bertanya, “Kenapa? Kau dah siapkan belum? Kau nak pinjam aku punya, kah?”
            “Aku pun dah siap.” Jawab Ana. Dia segera bangun dari meja belajarnya, mendekati aku yang sedang bersiap. “Aku tengok kau ni asyik kerja, saja. Cubalah bawak berehat. Nanti, kalau jatuh sakit macam mana?”
            “Aku kan ada kau. Kau tolonglah jaga aku kalau aku sakit nanti.” Aku mengenyitkan mata, saja bergurau dengan Ana.
            “Miey, aku serius ni. Aku bimbang, lagipun final dah nak dekat. Kau asyik dengan kerja je. Rehatlah, aku takut kau jatuh sakit je bila nak dekat exam nanti.”
            “Kau jangan risaulah. Nanti, bila dah nak exam nanti, aku ambil cuti. Aku dah beritahu Auntie Salma, nak ambil cuti 2 minggu sebelum exam bermula. Lebih kurang dalam sebulan juga, aku tak kerja. Auntie Salma pun tak kisah. Jangan risau, Ana.”
            “Betul ni?” Ana meminta kepastian. Segera aku mengangguk. Melihat anggukan itu, senyuman tercalit jua di bibirnya. Lantas dia menyambung, “Nanti, bolehlah kita belajar sama-sama. Janji tau.”
            “InsyaALLAH, kalau diizinkan Tuhan.” Aku segera teringatkan peristiwa semalam, peristiwa di mana aku hampir dilanggar akibat perbuatan gilaku. Ingin berkongsi cerita dengan Ana, namun melihat jam yang hampir ke 9.30 pagi, terbantut terus niatku.
            “Ana, aku nak cerita sesuatulah pada engkau. Tapi, dah pukul 9.30 ni, nantilah balik kerja aku cerita. Aku pergi dulu, ya.” Pantas aku menuruni tangga rumah sewa kami.
            “Janji, tau,” kedengaran suara Ana agak menjerit. Mungkin dia bimbang aku tidak mendengarnya.
            “Okay. Aku janji.” Tanpa berlengah, aku segera ke restoran Auntie Salma.

Selesai menunaikan solat Isyak setelah seharian bekerja di restoran, aku ingin segera merehatkan diri. Malas rasanya untuk menonton bersama-sama Ana di ruang tamu. Cuba ingin memejamkan mata, namun deringan telefon bimbitku yang kuat, memaksa aku membuka mata.
            ‘Aku baru je terlelap. Siapa pula lah yang mengacau tidur aku ni. Geramnya.’
            Telefon bimbit yang hanya berada di sebelah bantal tidurku, segera dicapai. Nombor yang tertera membuatkan otak aku berfikir seketika.
            ‘Nombor siapa, ni? Tiada dalam senarai kenalan, pun. Nak angkat ke tak? Hmm, angkat saja lah.’
            “Hello. Assalamualaikum.” Salam segera dihulur walaupun aku tidak mengetahui siapakah yang menelefonku.
            “Waalaikumsalam. Erm, may I speak to Miss Mimiey, please?”
            ‘Alamak, ni suara lelaki.’ Mendengarkan suara yang agak garau itu, terus sahaja jantungku berdegup kencang.
            “Ya, saya bercakap. Boleh saya tahu, dengan siapa saya bercakap?” Suaraku agak gugup. Sebenarnya, tidak pernah lelaki menelefonku selain ayahku.
            “Hello, Mimiey. This is Dzul. You dah lupa, kah? Ala, lelaki yang marahkan you semalam.”
            “Oh, Dzul...” Lega rasa hati setelah mengetahui siapa di hujung talian. ‘Hmm, apa agaknya yang Dzul nak?’
            “What are you doing right now?”
            “Oo, saya tengah baring-baring je. Tak buat apa-apa pun.” Spontan ayat itu keluar dari mulutku.
            “Oh, sorry. Am I interrupting you?” Nada suara Dzul berubah. Mungkin rasa bersalah mengganggu.
            “Eh, taklah. Bukannya saya tidur lagi. Saja baring-baring lepaskan penat.” Walaupun memang sebenarnya panggilan itu agak menggangu, tapi aku tidaklah sampai sanggup nak memberitahu Dzul.
            “You tinggal dekat mana, ya? I ingat nak ajak you berjumpa.”
            “Jumpa?!” Sedikit menjerit suaraku ketika ini. Gila apa mamat ni. Kalau betul nak jumpa, ajaklah awal-awal. “Err, sorry. Tapi Dzul, sekarang dah dekat pukul 11 malam. Dah lewat ni. Lagipun, esok saya ada kelas jam 8 pagi. Kita jumpa hari lain, boleh tak?”
            ‘Macam manalah boleh terjerit pula? Aduh, malunya aku! Sudahlah kuat aku menjerit tadi.’
            “Ohh.. It’s okay.” Nasib baiklah Dzul tidak mendesak. “Hmm, you told me that you have to attend a class tomorrow. You belajar lagi, ke?” Dzul bertanya.
“A’ah. Saya belajar lagi.” Ikhlas aku menjawab pertanyaan itu.
“Oh, I thought you dah bekerja. Semalam, bukankah you kerja di restoran?”
‘Banyaklah pulak pertanyaan.’
“Oh, saya buat kerja sambilan. Nak tambah duit poket.”
“Oh, okay. You belajar dekat mana?” Dia bertanya lagi. Tiada tanda-tanda mahu meletakkan telefon.
“UiTM di hatiku.” Aku tidak menyangka jawapan spontan ku itu membuatkan Dzul ketawa. Aku tersenyum sendiri.
“Mm, tak sangka. I pun belajar di ‘UiTM dihatiku’. You ambil course ape?” Masih kedengaran tawa kecil dari Dzul.
“Program Statistik, di Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif. Sekarang saya berada di semester  kelima dan semester depan, insyaALLAH jikalau saya tidak mengulang sebarang subjek, saya akan membuat latihan industri. Ada apa-apa soalan lagi, wahai Encik Dzul?”
Entah apa yang merasuk minda aku saat itu, aku pun tidak tahu. Bagaimana segala jawapan itu boleh terbit di mulutku, sungguh aku tidak mengerti.
Ketawa Dzul jelas kedengaran dihujung talian. Mendengarkan tawa itu, aku menjadi malu. Malu kerana aku terlalu berani melayan lelaki ini.
“Dzul pula, ambil course apa dekat UiTM?” Aku bertanya untuk menghilangkan segala perasaan malu yang terbit di hati.
Dalam tawa yang masih bersisa, Dzul menjawab, “Architecture.” Seketika, dia terdiam, namun segera dia menyambung, “Well, Mimiey, can we meet tomorrow? I mean, lepas you habis kuliah.”
Pada mulanya, aku agak keberatan untuk berjumpa Dzul. Mana tidaknya, semua kuliahku pada hari esok berakhir jam 6 petang. Kemudian, jam 8 malam aku terfikir untuk ke Restoran Auntie Salma.
Setelah puas Dzul mengajak aku untuk berjumpa, akhirnya aku bersetuju untuk keluar makan malam dengannya. Itu pun selepas Maghrib. Ikutkan Dzul, jam 7 petang dia mahu menjemputku.
Nampaknya, tiada rezeki untukku esok. Harap-harap Auntie Salma tidak memarahiku.

2 ulasan:

fiza tajudin berkata...

budak stats jugak rupanya si mimiey nihh.. hehehe

aKuLyNda berkata...

uitm dihatiku..ngeh2